Ahlan Ya Bulan Ramadhan

Kini tibalah Shahri Sharifah (bulan yang mulia) bulan Ramadhan Al Mubarak. Yang mana bulan ini penuh dengan keberkatan dan rahmat dari yang Maha Penyayang. Dari itu, sama-samalah kita muhasabah akan peristiwa dalam Ramadhan yang lalu agar di tahun ini Ramadhan yang ditempuhi cukup bermakna buat kita. Tataplah bulan sabit yang akan bakal bertukar purnama seterusnya kembali ke bentuk tandan yang tua.
dan telah kami tetapkan tempat peredaran bagi bulan, sehingga setelah sampai ke tempat peredaran yang terakhir, kembalilah ia seperti bentuk tandan yang tua.......(Yasin:39)
Renungilah bulan sebagaimana orang beriman merenungnya.Budak-budak pun ada juga tengok bulan seperti dalam filem tentang bulan. Masing-masing punya perspektif sendiri. Cuma ingin diingatkan, bahawa bulan Ramadhan ini pasti meninggalkan kita sama ada kita meninggal dunia dalamnya atau sebagaimana masa meninggalkan kita. Kata orang alim, cara nak kira bulan puasa ini adalah secara decreasing order (ataupun dalam bilangan menurun) bukan secara increasing. Contohnya bila sudah berlalu 3 Ramadhan maka kita seharusnya mengatakan 27 hari lagi kita berada dalan bulan Ramadhan, begitulah seterusnya 26,25,24 dan akhirnya 0. Logiknya kita akan selalu beringat bahawa makin lama hati makin terasa sayu meninggalkannya, ganjaran yang paling menguntungkan iaitu rahmat dan magfirah dari Ar Rahman. Oleh itu jika kita melakar graf (amalan vs hari) sepatutnya graf yang dilakarkan adalah berkadar langsung (directly proportional).


Maknanya semakin hari amalam semakin bertambah. Ada betulnya juga perkiraan secara decreasing order seperti ini. Walaubagaimanapun, anggapan negatif sering sahaja timbul. Boleh juga kalau kita hendak katakan 27 hari itu sebagai countdown nak Raya!!!Pening dengan telatah fikiran manusia. Apapun cara mengiranya tetaplah kita berada dalam status fastabiqul khairat (berlumba-lumba melakukan amal kebajikan) agar peluang keemasan anugerah ilahi ini dapat dimanfaatkan sebaiknya terutama sebagai madrasah tarbiyyah yang mendidik jiwa dan rohani agar sentiasa segar disirami iman dan taqwa. Buat pendukung dakwah, maka bertebaranlah program penghayatan, qiamullail, dan ifthar diadakan seluruh pelusuk alam mengingatkan manusia agar bersama-sama beribadah bersama. Semoga mendapat keberkatan Allah S.W.T. Bersama-samalah tingkatkan ketaqwaan dan sentiasalah taqarrub ilALLAH.

No comments:

Post a Comment