Anti Virus terbaik sepanjang Zaman

Sudah menjadi rutin bulanan menukar sistem operasi (OS,operating system) atau biasa dipanggil formatting.Dan kini sistem operasi windows 7 versi percubaan (release candidate) yang diberi codename vienna menjadi pilihan. Maka,sistem keselamatan juga berbeza berbanding Windows vista,XP,1998,Solaris,Mac OSX Leopard dan lain-lain. Anti virus yang dicadangkan untuk windows 7 RC boleh didapati di laman microsoft. Tentu anda tahu peranan perisian antivirus. Seringkali menjawab persoalan rakan yang setia disisi komputer ribanya,"Geng,apa software anti virus yang ko guna?"(pertanyaan lazim sahabat dari pantai timur Sabah), ada juga yang tanya "enta ade tak manual update kapeski v6.00108 build 1400?" Sahabat yang menyandang julukan generasi Ghuraba' khuatir fail-fail data dan kertas cadangan program yang tidak berdosa dinodai oleh ancaman malware,spyware,dan virus yang pelbagai. Jawapan saya ringkas "Pakai jak apa-apa yang penting ada", "takde pulak,malas je ana nak muat turun".
Perisian ini menghalang kehadiran virus yang berpunca dari perkongsian Storan USB secara tidak terkawal mengakibatkan jangkitan virus dan malware. Justeru, kaedah ini merupakan langkah awal pencegahan. Pepatah arab ada mengatakan الوقاية خير من العلاج (prevention better than cure atau mencegah lebih baik dari mengubati).


Bagaimana pula keadaannya dengan hati kita?Apakah bentuk antivirus yang digunakan?Adakah selalu dikemaskini?Mudah jawapannya. Iman dan taqwalah menjadi jenama terbaik bagi menghalang virus-virus dari menghinggapi hati dan jiwa manusia. Bagi yang suka menggunakan perisian cetak rompak, crack dan registration file selalu menjadi masalah terutama ketika hendak mengemaskini perisian. Ini kerana ia lebih dahulu dikenalpasti sebagai pengguna tiruan serta boleh diklasifikasikan sebagai jenayah siber. Adapun perisian Iman dan penambahan fungsi taqwa menjadikan sistem pertahanan ini sebagai benteng yang kukuh sekiranya dipasang pada sistem operasi Hati. Pendaftaran Iman ini cukup mudah iaitu melalui syahadatain, tetapi penggunaannya bergantung kepada amalan batin. Walaupun demikian perisai tambahan Taqwa perlu diaktifkan dan dikemaskini setiap waktu dan ketika agar sistem ini sentiasa melindungi hati daripada berbagai bentuk ancaman. Hati amat mudah menerima ancaman virus seperti virus ukhuwwah,hasad,ujub,takabbur,riya',sum'ah dan lain-lain. Oleh itu Iman dan Taqwa memainkan peranan besar dalam melindungi hati daripada serangan virus seperti di atas.


Kita khuatir hati yang tidak dibentengi iman dan taqwa lebih mudah diserang titik-titik hitam seterusnya menggelapkan hati dari menerima cahaya ilahi sebagaimana firman ALLAH dalam surah Al Baqarah ayat 7:

Allah telah mengunci hati dan pendengaran mereka, penglihatan mereka telah tertutup, dan mereka akan mendapat azab yang berat.

Persoalan hati sangat dititik beratkan dalam kehidupan seorang mu'min. Oleh itu, lahirlah cabang ilmu yang dipanggil ilmu tasawuf yang mengutamakan kembara batiniyyah supaya sentiasa kekal diamnya di atas jalan kerohanian.

Jadi, apa tunggu lagi?Marilah bersama-sama kita kemaskini (update) anti virus hati. Terdapat dua cara mengemaskini sama seperti antivirus PC kita, pertama secara "online" melalui doa rintihan sang Hamba kepada Maha Pencipta. Keluhan meraih simpati dari hamba yang lemah dan fakir memohon hidayah agar dikuatkan iman yang lemah sudah tentu mendapat perhatian Yang Maha Agung lagi Maha Mengasihani. Kaedah "online" ini semata-mata atas nama ketidakberdayaan dan penyerahan mutlak kita serta Ubudiyyah kita kepadaNya.

Kaedah kedua boleh juga dilakukan secara manual ("update manually") iaitu muat turun dari "laman" Al Quran Al Karim dan Sunnah Rasulullah. Fahamilah maknanya yang tersirat melalui mufassirin yang muktabar. Kunjungilah Raudhatun Min Riyadh Al Jannah agar memperoleh ilmu dan hikmah yang boleh mengecas dan mengemaskini (muhasabah) iman dan taqwa tadi.

Moga-moga mendapat rahmat dan petunjuk.

2 comments:

  1. Salam WUFI Cikgooo Al-Hafiz

    Alhamdulillah dah ada blog cikgu ni. Manfaat dakwah di alam maya. Kupasan yang menarik dan bersahaja. Abang suka ayat ini
    "Iman dan taqwalah menjadi jenama terbaik bagi menghalang virus-virus dari menghinggapi hati dan jiwa manusia."
    Nak tanya sikit; "Apa pula antivirus untuk cikgoo yang pelat BInya? Hahahha

    ReplyDelete
  2. salam ramadhan karim..tahniah cikgu!slamat datang ke dunia dakwah tanpa sempadan..sentap artikel ni..pe antivirus untuk cemerlang dalam exam cikgu?huhu

    ReplyDelete